Bahagian Pemasaran Zakat Korporat, Jabatan Kutipan Zakat (JKZ), Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP) telah menganjurkan Sesi Libat Urus bersama agensi-agensi pembangunan usahawan Pulau Pinang (Siri 1) yang berlangsung di Zakat MAINPP.
Ucapan aluan telah disampaikan oleh En. Mohamad Kairi Ghazalli, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat MAINPP, manakala taklimat disampaikan oleh En. Muhammad Asyraf Abdul Wahab, Pengurus Besar Jabatan Kutipan Zakat, Zakat MAINPP.
Sesi ini melibatkan kehadiran Pengarah, Timbalan Pengarah dan Pengurus daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta yang terlibat dalam pembangunan keusahawanan di negeri ini.
Program ini bertujuan membincangkan inisiatif Logo Rakan Muzakki Zakat MAINPP kepada agensi-agensi usahawan di Pulau Pinang, di samping menyampaikan maklumat mengenai penubuhan Muzakki Hub yang bakal dilancarkan oleh YB Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang merangkap Yang Dipertua MAINPP tidak lama lagi.
Selain itu, sesi perbincangan awal ini turut memberi fokus kepada usaha meningkatkan penyertaan pembayar Zakat Perniagaan serta memperkukuh jaringan kerjasama strategik bersama pihak agensi.
Mohon doa dan sokongan semua agar inisiatif ini membuahkan hasil yang bermanfaat demi pembangunan ekonomi ummah selaras dengan Teras Pembangunan Sosioekonomi, Agenda Pembangunan Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2030 (APAI2030).



