Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP) terus memperkukuh peranan dalam pembangunan Islam menerusi penganjuran Majlis Anugerah Amil Zakat Fitrah (MAFIT) bagi menghargai komitmen dan sumbangan para amil di seluruh negeri.
Majlis yang berlangsung di Dewan Wisma Al-Ansar, Masjid Seberang Jaya petang tadi telah disempurnakan oleh YB Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, turut menyaksikan penglibatan strategik Bank Islam Malaysia Berhad sebagai rakan penaja utama.
Menurut beliau, kutipan zakat fitrah bagi tahun 1446H/2025M berjaya mencatat peningkatan sebanyak 21.2%, iaitu sebanyak RM8.89 juta berbanding RM7.34 juta tahun sebelumnya. Prestasi ini mencerminkan keyakinan masyarakat terhadap pengurusan telus dan berintegriti oleh Zakat MAINPP.
Sebanyak 26 penerima anugerah diraikan, termasuk penerima utama yang membawa pulang wang tunai RM5,000, manakala 25 penerima saguhati menerima RM1,000 setiap seorang. Tiga kategori utama yang dipertandingkan ialah:
Anugerah Peratusan Kenaikan Kutipan Tertinggi
Anugerah Pengurusan Fitrah Terbaik
Anugerah Kutipan Zakat Fitrah Tanpa Tunai Tertinggi (Individu)
“Zakat bukan sekadar ibadah, ia juga amanah sosial yang menuntut pelaksanaan cekap dan sistematik. Para amil adalah ejen utama dalam memastikan zakat sampai kepada yang berhak,” ujar YB Dato’ Dr. Mohamad.
Beliau turut menyatakan bahawa penstrukturan Zakat MAINPP adalah sebahagian daripada Agenda Pembangunan Agama Islam 2030 (APAI2030) dengan lima teras utama termasuk pendidikan, dakwah dan pembangunan sosioekonomi.
Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM24.42 juta bagi pembangunan dan penyelenggaraan masjid serta institusi pendidikan Islam seperti SAR, KAFA, tahfiz dan sekolah pondok, sebagai komitmen memperkasa umat Islam sejajar dengan nilai-nilai Malaysia MADANI dan Visi Penang2030.
Turut hadir, Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Sohibus Samahah Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd. Sukki Othman; Timbalan Yang Dipertua MAINPP, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Abd. Aziz Tajuddin; dan Setiausaha Majlis bagi MAINPP, Dato’ Rosidi Hussain.





