Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) melalui Zakat MAINPP hari ini melakar satu lagi sejarah dalam usaha memperkasa budaya zakat dalam kalangan sektor korporat apabila melancarkan Logo Rakan Muzakki sempena Majlis Apresiasi Pembayar Zakat Perniagaan Tahun 2025.
Pelancaran logo ini merupakan penghargaan rasmi kepada pembayar zakat perniagaan yang menunjukkan komitmen tinggi dalam menunaikan tanggungjawab zakat kepada MAINPP. Ia bukan sahaja memberi pengiktirafan, malah membantu memperkukuh jenama korporat pembayar zakat di mata masyarakat.
Logo ini boleh dipamerkan di premis perniagaan dan bahan penerbitan korporat sebagai simbol bahawa mereka adalah pembayar zakat aktif di Pulau Pinang – seterusnya membuka kepercayaan pengguna terhadap syarikat yang cakna terhadap tanggungjawab sosial Islam.
Tiga kategori pengiktirafan diperkenalkan melalui Logo Rakan Muzakki ini:
Emas – Pembayar zakat RM50,000 dan ke atas
Perak – RM5,000 hingga RM49,999.99
Gangsa – RM1,000 hingga RM4,999.99
Sebagai nilai tambah, direktori syarikat-syarikat yang layak turut dipamerkan di Muzakki Hub, memberi akses kepada pengguna dan pelanggan untuk mengenali perniagaan yang menyokong pembangunan ummah melalui zakat.
Selain itu, MAINPP turut memberi kepercayaan kepada pembayar zakat korporat melebihi RM100,000 untuk menjadi Wakil Agihan Zakat melalui Skim Wakalah, membolehkan mereka melaksanakan agihan zakat bersama MAINPP sebagai sebahagian daripada program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).
Untuk rekod, tahun lalu Zakat MAINPP telah melancarkan Divisyen Projek Khas dengan tumpuan kepada agihan strategik seperti:
– Pusat Hemodialisis Zakat MAINPP – Rawatan percuma pesakit buah pinggang
– Inapan Kasih Sayang MAINPP – Asrama percuma anak-anak asnaf
– Darul Hanan MAINPP – Rumah perlindungan warga emas
Jumlah keseluruhan nilai projek khas ini mencecah RM16 juta, tidak termasuk agihan zakat lain iaitu hampir RM50 juta untuk asnaf fakir dan miskin, serta hampir RM30 juta bagi pendidikan.
Segala usaha ini sejajar dengan matlamat di bawah Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang 2030 (APAI2030), khususnya dalam Teras Pembangunan Sosioekonomi dan perancangan strategik kutipan-agihan zakat.
Zakat MAINPP menyeru seluruh umat Islam di Pulau Pinang untuk terus menyokong usaha ini dan bersama-sama membantu mencapai sasaran kutipan zakat sebanyak RM200 juta bagi tahun 2025 demi manfaat asnaf dan kesejahteraan ummah negeri ini.





