Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menerusi Zakat MAINPP terus memperkasa aspek kebajikan dan kesihatan asnaf apabila memperuntukkan sebanyak RM12.78 juta pada tahun ini bagi menampung kos rawatan dialisis lebih 400 pesakit buah pinggang tahap akhir di seluruh negeri.
Komitmen ini dizahirkan dalam Majlis Himpunan Pesakit Dialisis Tajaan Zakat MAINPP 2025 yang berlangsung di Dewan Wisma Al-Ansar, Masjid Seberang Jaya pagi tadi.
Majlis telah disempurnakankan oleh Setiausaha MAINPP, YBhg Dato’ Haji Rosidi Hussain, mewakili Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang. Beliau menyatakan bahawa inisiatif ini bertujuan memastikan golongan yang berdepan cabaran kesihatan kronik tidak terabai dan terus diberi akses kepada rawatan yang sewajarnya.
“Sejak tahun 2001, MAINPP telah membuka Pusat Hemodialisis sendiri dan menjalin kerjasama strategik dengan pusat rawatan swasta bagi memperluaskan akses rawatan dialisis. Selain rawatan, bantuan kewangan dan psikososial turut disediakan bagi mengurangkan beban para pesakit,” katanya.
Program ini meraikan pesakit-pesakit dari 8 cawangan Pusat Hemodialisis Zakat Mainpp (PHZ) dan 23 pusat rawatan panel yang dilantik. Secara keseluruhan, lebih RM18.5 juta setahun dibelanjakan oleh Zakat MAINPP untuk pelbagai skim kesihatan seperti Klinik Bergerak Waqaf An-Nur, Skim Perubatan Ringan, Skim Pembedahan, Skim Farmasi Panel Asnaf, Skim Pengangkutan Pesakit serta Geran Hospital kepada jabatan sosial hospital kerajaan.
Pelaksanaan agihan dalam bentuk rawatan dan sokongan kesihatan ini juga adalah selaras dengan agenda Kerajaan Negeri Pulau Pinang iaitu Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang 2030 (APAI2030), khususnya di bawah teras pembangunan keluarga, yang menekankan sokongan berterusan terhadap kesejahteraan komuniti dan institusi keluarga asnaf.
Acara istimewa majlis ini turut menyaksikan penyampaian Anugerah Ikon Pesakit Inspirasi PHZ MAINPP Tahun 2025 kepada tujuh (7) penerima terpilih. Mereka diiktiraf atas ketabahan, disiplin serta semangat juang yang tinggi dalam menempuh rawatan harian, menjadikan mereka contoh inspirasi kepada pesakit lain.
Majlis turut dihadiri oleh Sahibus Samahah Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Sukki Othman, Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang; Dato’ Haji Alias Haji Ali, Ahli Lembaga Pengarah Zakat Pulau Pinang; Encik Mohamad Kairi Ghazalli, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat MAINPP; Penyelaras-penyelaras KADUN dan wakil Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat serta pengusaha-pengusaha Pusat Hemodialisis panel lantikan Zakat MAINPP.
Dato’ Haji Rosidi turut menyeru agar lebih ramai pembayar zakat, termasuk individu dan syarikat korporat, terus menyalurkan zakat melalui Zakat MAINPP bagi menjamin kesinambungan dan kelestarian skim-skim bantuan yang memberi impak langsung kepada asnaf yang memerlukan di negeri Pulau Pinang tercinta ini.
Majlis anjuran Jabatan Kelestarian dan Kesejahteraan Asnaf (JKKA) ini turut menjadi wadah memperkukuh jaringan sokongan antara pesakit, keluarga serta penyedia rawatan dalam suasana penuh keprihatinan dan kasih sayang.




