Sebanyak 11 syarikat menyerahkan zakat korporat berjumlah RM1,829,541.12 kepada Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dalam Majlis Citra Korporat: Memperkasa Sosioekonomi Berteraskan APAI2030 di Iconic Marjorie Hotel hari ini.
Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, YB Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, peningkatan kutipan zakat perniagaan daripada RM30.41 juta (2023) kepada RM32.08 juta (2024) membuktikan keyakinan tinggi sektor korporat terhadap tadbir urus zakat negeri.
Beliau menegaskan zakat bukan sahaja kewajipan agama, tetapi instrumen pembangunan sosioekonomi yang membantu golongan asnaf keluar daripada kemiskinan, selari dengan Agenda Pembangunan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (APAI2030).
Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid turut menyeru seluruh sektor korporat agar bersama-sama MAINPP membantu asnaf yang memerlukan di negeri ini dengan menunaikan zakat melalui saluran rasmi MAINPP.
Antara syarikat yang menunaikan zakat ialah Bank Muamalat Malaysia Berhad, FGV Holdings Berhad, Bank Pembangunan Malaysia Berhad, CIMB Islamic Bank Berhad dan Public Islamic Bank Berhad.
“Jadikanlah amalan berzakat sebagai strategi jangka panjang yang bukan sahaja memberi keberkatan, malah mengangkat martabat syarikat di sisi masyarakat dan di sisi Allah SWT,” kata beliau lagi.

Comments are closed