Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP) meneruskan komitmen dalam memperkasakan usahawan asnaf melalui penganjuran Kursus Pemasaran Atas Talian (TikTok) yang merupakan lanjutan daripada Program “Jom Digitalkan Bisnes” anjuran bersama Open University Malaysia (OUM) April 2025 lalu yang telah disempurnakan perasmiannya oleh YB Dato’ Dr Mohamad Abdul Hamid, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang.
Kursus kali ini memberi penekanan khusus terhadap strategi pemasaran menggunakan platform TikTok yang kini menjadi medium utama promosi digital. Para peserta didedahkan dengan teknik penghasilan kandungan kreatif, cara membina jenama perniagaan, strategi capaian audiens yang tepat, serta penggunaan data analitik untuk meningkatkan jualan.
Menurut wakil Zakat MAINPP, penganjuran kursus lanjutan ini bertujuan memastikan ilmu yang diperoleh daripada program terdahulu dapat diperkasakan dengan kemahiran praktikal, seiring perkembangan trend pemasaran digital masa kini.
Seramai 50 orang usahawan Zakat MAINPP telah menghadiri program selama 2 hari yang bermula 20 Ogos 2025 di Iconic Hotel, Juru ini. Para peserta mendapat bimbingan dan tunjuk ajar dari Puan Suraya Ali yang lebih mesra disapa sebagai Cik Sue, Business Coach dan Trainer khusus dalam Keusahawanan Digital dan Pemasaran Digital.
Zakat MAINPP berharap kursus ini menjadi platform penting bagi melahirkan lebih ramai usahawan asnaf yang mampu berdiri sendiri, menjadikan teknologi digital sebagai medium utama dalam memajukan perniagaan, berjaya menjadi seorang pembayar zakat yang menyumbang semula kepada pembangunan ekonomi ummah di negeri ini.




Comments are closed