BUTTERWORTH, 19 APRIL 2025 – Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya menganjurkan Majlis Konvokesyen TVET Zakat MAINPP Kali Pertama Tahun 2025, menghimpunkan para graduan asnaf di Akademi Binaan Malaysia (ABM), Kulim Advanced Technologies Sdn Bhd (KTECHNO) dan High Skills Technology Sdn Bhd yang berjaya menamatkan latihan dalam pelbagai bidang kemahiran di bawah program tajaan zakat.
Majlis yang berlangsung penuh gemilang di Ixora Hotel ini telah dirasmikan oleh YB. Dato’ Dr. Mohamad bin Abdul Hamid, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, yang turut menyampaikan ucapan penuh inspirasi kepada para graduan. Dalam ucapannya, beliau menzahirkan rasa bangga terhadap kejayaan Zakat MAINPP memperkasa komuniti asnaf melalui pendidikan TVET.
“Ini adalah simbol kejayaan anak-anak asnaf yang berjaya membina langkah ke dunia pekerjaan sebenar. Zakat MAINPP bukan sahaja menyalurkan bantuan kewangan, malah menjadi ejen transformasi kehidupan melalui pendidikan dan kemahiran,” ujar beliau.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2016, Program TVET Zakat MAINPP telah melatih lebih 700 pelajar asnaf dengan kerjasama institusi kemahiran terpilih. Ramai dalam kalangan mereka kini telah berjaya menempatkan diri dalam pelbagai sektor pekerjaan berkemahiran tinggi.
Majlis kali ini turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) antara Zakat MAINPP, High Skills Technology Sdn. Bhd. dan Penang Skills Development Centre (PSDC). Kerjasama strategik ini bakal memperkukuh lagi keupayaan belia Muslim dalam bidang teknologi tinggi, sejajar dengan kehendak industri serta visi Penang2030 dan agenda Malaysia MADANI.
YB Dato’ Dr. Mohamad turut menekankan kepentingan kesinambungan program ini melalui sokongan graduan sendiri.
“Graduan yang diraikan hari ini diseru untuk terus menyumbang kembali kepada MAINPP dengan menunaikan zakat pendapatan, agar lebih ramai asnaf dapat dibantu di masa akan datang,” katanya lagi.
Program TVET Zakat MAINPP merupakan antara inisiatif zakat produktif yang selari dengan Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang (APAI2030), yang memberi fokus kepada pembangunan modal insan progresif dan bersepadu.
Majlis konvokesyen ini bukan sahaja meraikan kejayaan para graduan, malah menjadi bukti bahawa agihan zakat yang strategik mampu mencipta impak berpanjangan kepada pembangunan sosioekonomi ummah.
Tahniah diucapkan kepada semua graduan. Kejayaan anda adalah inspirasi kepada seluruh komuniti asnaf dan rakyat Pulau Pinang!





