Pulau Pinang Sasar Tangani Isu 3M Dan Keciciran Dalam Sektor Pendidikan Menjelang 2030, MAINPP Peruntukan RM2 Juta Untuk MPDCA
Petang tadi TKM1 menyempurnakan perasmian Majlis Taklimat Guru-Guru Penyelaras Mutiara Program Didik Cemerlang Akademik (Mutiara PDCA) Sesi 2025 yang dihadiri lebih 670 guru penyelaras.
Sejak 2006, program Mutiara PDCA ini menerima peruntukan MAINPP selain PERDA dan ICU Jabatan Perdana menteri bagi membantu pelajar negeri ini meningkatkan kualiti pembelajaran terutamanya calon SPM.
Saya menyingkap ketika awal menerima pelantikan selaku Timbalan Ketua Menteri 1, antara jabatan terawal yang saya kunjungi ialah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang di Jalan Bukit Gambir.
Ketika itu, saya menerima pembentangan dari Timbalan Pengarah JPNPP dengan data-data yang dibentangkan menggusarkan saya terutamanya berkait isu 3M (Membaca, Menulis, Mengira) sekitar 2% dan keciciran pelajar sekitar 3-5 %.
Sejak itu, saya sentiasa merangka dasar dan polisi di dalam kapasiti saya selaku EXCO Pendidikan Negeri Pulau Pinang bagi memastikan kedua-dua isu ini dapat ditangani menjelang 2030 selain inisiatif pihak Kerajaan Negeri sendiri menubuhkan pelbagai agensi sejak 2018 dengan tujuan mencapai visi negeri pintar menjelang 2030.
Saya juga menyampaikan cek cura RM2 Juta peruntukan MAINPP bagi menjayakan Mutiara PDCA tahun 2025, selain menyampaikan anugerah kecemerlangan SPM 2024 kepada 3 buah sekolah teratas yang menjalankan program Mutiara PDCA iaitu SMKA Al-Irshad, SMKA Al-Mashoor (P) dan SMKA Syeikh Abdullah Fahim.
Kita juga memohon agar para guru di negeri ini mendokong dan menyokong kesemua Teras Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang 2030 (APAI2030) yang salah satunya adalah Teras Pembangunan Sosioekonomi dengan memberi sokongan kepada institusi zakat seliaan MAINPP.




