- 9 September, 2026
- Najwa Ahmad Rudin
- 0
TRANSFORMASI ASNAF : 13 MUSIM TUAIAN MENGUBAH KEHIDUPAN ASNAF KEPADA MUZAKKI
SEBERANG PERAI, 9 September 2026 -Bermula dengan latihan dan sokongan kewangan daripada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), kini Encik Muhammad Shukur bin Md Saad Usahawan Tani Zakat MAINPP mampu tersenyum bangga apabila usaha beliau dalam bidang pertanian membuahkan hasil, malah melangkah daripada seorang penerima bantuan zakat kepada seorang muzakki.
Perkembangan ini ditinjau menerusi lawatan susulan Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP) ke tapak projek beliau di Ara Kuda pada 9 September 2026 bagi melihat kemajuan perusahaan serta kelangsungan projek yang diusahakan.
Sebagai bekas peserta Projek Fertigasi Asnaf, beliau menerima latihan kemahiran dan sokongan kewangan daripada Zakat MAINPP untuk mengusahakan tanaman timun secara fertigasi. Projek ini turut diselang-selikan dengan tanaman peria menggunakan kaedah yang sama.
Berkat kesungguhan dan ilmu yang dimanfaatkan, beliau telah mencatatkan 13 musim tuaian dalam tempoh dua tahun sejak menerima bantuan, dengan hasil sekitar 5 hingga 7 tan bagi setiap musim. Pencapaian ini mencerminkan kegigihan beliau membangunkan perusahaan sebagai sumber pendapatan yang berterusan.
Lebih manis, dalam lawatan hari ini, beliau turut menyerahkan zakat kepada Ketua Pegawai Eksekutif Zakat MAINPP, YBrs Tuan Mohamad Kairi Ghazalli. Daripada menerima bantuan untuk memulakan langkah, kini beliau bergelar muzakki dan turut menyumbang untuk membantu asnaf yang lain.
Zakat membuka peluang, latihan membina keupayaan, manakala usaha gigih penerima menggerakkan perubahan. Melalui bimbingan dan pemantauan berterusan, Zakat MAINPP terus mendampingi asnaf dalam perjalanan membina kehidupan yang lebih baik sehingga mampu berkongsi rezeki dengan masyarakat.
Penghargaan buat para muzakki yang menunaikan zakat melalui Zakat MAINPP. Daripada zakat yang anda tunaikan, tumbuh peluang dan harapan sehingga penerima yang pernah dibantu kini menjadi sebahagian daripada mereka yang memberi.







