- 20 October, 2026
- Najwa Ahmad Rudin
- 0
GEORGETOWN, 20 Oktober – Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menerima zakat perniagaan berjumlah RM453,000.00 daripada Bank Islam Malaysia Berhad sebagai komitmen institusi perbankan Islam tersebut dalam menunaikan kewajipan zakat serta menyokong usaha pembangunan sosioekonomi dan kesejahteraan umat Islam di Pulau Pinang.
Penyerahan cek cura berkenaan berlangsung sempena kunjungan hormat Delegasi Pengurusan Tertinggi Bank Islam Malaysia Berhad yang diketuai oleh YM Raja Datin Paduka Teh Maimunah Raja Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam Malaysia Berhad, kepada YB Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang merangkap Yang Dipertua MAINPP, bertempat di Pejabat Timbalan Ketua Menteri I, KOMTAR, Pulau Pinang.
Kunjungan tersebut turut menjadi platform perbincangan bagi memperkukuh hubungan strategik antara Bank Islam Malaysia Berhad dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan MAINPP, khususnya dalam meneroka potensi kerjasama pembangunan ekonomi Islam, memperluas inisiatif kewangan Islam serta memperkasa kesejahteraan masyarakat.
Turut hadir, Dato’ Haji Rosidi Hussain, Setiausaha MAINPP; Tuan Mohamad Kairi Ghazali, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat MAINPP sertaTuan Haji Abdul Mohsein Mohd Shariff, Ketua Pegawai Eksekutif Wakaf Pulau Pinang; serta
Zakat perniagaan yang ditunaikan oleh institusi korporat seperti Bank Islam Malaysia Berhad memainkan peranan penting dalam memperkukuh sumber agihan zakat bagi membiayai pelbagai inisiatif pembangunan asnaf, merangkumi bantuan keperluan asas, pendidikan, pembangunan modal insan, keusahawanan serta pemerkasaan ekonomi.
Komitmen ini juga selari dengan aspirasi Agenda Pembangunan Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2030 (APAI2030) yang memberi penekanan terhadap pembangunan umat Islam secara menyeluruh, mampan dan berimpak tinggi.
Semoga kerjasama strategik ini terus diperkukuh dalam merealisasikan agenda transformasi asnaf, daripada golongan yang menerima bantuan kepada masyarakat yang lebih berdikari, berdaya saing dan akhirnya berpotensi menjadi pembayar zakat.







