- 16 October, 2026
- Najwa Ahmad Rudin
- 0
BALIK PULAU, 16 Oktober 2026 – Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menerusi Zakat MAINPP terus memperkukuh pembangunan pendidikan anak-anak asnaf melalui penganjuran Camp Ultimate SPM 2026 di bawah Mutiara Program Didik Cemerlang Akademik (MPDCA) yang kini dijenamakan Tuisyen MADANI, berlangsung pada 16 hingga 18 Oktober 2026 bertempat di Institut Latihan Islam Pulau Pinang (ILIPP).
Program selama tiga hari ini menghimpunkan seramai 116 orang pelajar daripada 16 buah sekolah dengan bimbingan 10 orang guru bagi mempertingkatkan persediaan akademik menjelang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026.
Sepanjang program, para peserta mengikuti sesi pembelajaran intensif yang memberi penekanan terhadap pengukuhan penguasaan mata pelajaran, teknik menjawab soalan peperiksaan serta peningkatan keyakinan diri dalam menghadapi SPM.
Untuk tahun 2026, MAINPP memperuntukkan sebanyak RM2 juta bagi pelaksanaan MPDCA atau Tuisyen MADANI yang memberi manfaat kepada 7,403 murid dan pelajar daripada 109 buah sekolah di seluruh Pulau Pinang. Peruntukan ini merangkumi pelaksanaan kelas tuisyen, penyediaan modul pembelajaran, seminar akademik, bengkel teknik menjawab peperiksaan serta kem kecemerlangan.
Inisiatif ini membuktikan bahawa agihan zakat bukan sekadar memenuhi keperluan asas, malah merupakan pelaburan jangka panjang dalam pembangunan modal insan, khususnya bagi memastikan anak-anak asnaf mendapat akses kepada pendidikan berkualiti dan peluang mencapai kecemerlangan akademik.
Usaha ini turut mendukung aspirasi Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang 2030 (APAI2030) dalam memperkasa pendidikan dan pembangunan sosioekonomi umat melalui agihan zakat yang berimpak serta berterusan.
Zakat MAINPP percaya bahawa pendidikan merupakan antara pemangkin utama transformasi kehidupan asnaf. Melalui sokongan pendidikan yang menyeluruh, anak-anak asnaf berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, membina kerjaya yang baik dan seterusnya mengubah kehidupan keluarga daripada penerima zakat kepada penyumbang zakat pada masa hadapan.

