
BALIK PULAU, 2 Oktober 2026 – Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) terus memperkasa kecemerlangan pendidikan pelajar melalui penganjuran Kem Sinergi Pemantapan Dini SPM 2026 yang berlangsung pada 2 hingga 4 Oktober 2026 di Institut Latihan Islam Pulau Pinang (ILIPP), Pantai Acheh, Balik Pulau.
Seramai 120 pelajar daripada 11 buah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di Pulau Pinang menyertai kem ini dengan bimbingan 12 orang Jurulatih Utama Kurikulum Bersepadu Dini bagi subjek Al-Syariah, Usul al-Din dan LAM.
Program ini merupakan salah satu inisiatif di bawah Program Lonjakan SPM MADANI yang dikendalikan oleh Unit Pendidikan & Dermasiswa MAINPP dengan kerjasama Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP) dan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP).
Menerusi program ini, para pelajar diberi pendedahan melalui kelas tambahan, bimbingan intensif serta bengkel teknik menjawab soalan peperiksaan secara percuma bagi meningkatkan persediaan dan keyakinan mereka menghadapi SPM.
Usaha ini mencerminkan komitmen MAINPP dalam memperkasa pembangunan modal insan dan kecemerlangan pendidikan generasi muda, selaras dengan Agenda Pembangunan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (APAI2030) serta aspirasi Transformasi Asnaf Melalui Zakat.