- 15 October, 2026
- Najwa Ahmad Rudin
- 0
SEBERANG PERAI, 15 Oktober 2026 – Selepas 13 tahun bergantung kepada rumah sewa, impian Encik Mehat Ahmad untuk menyediakan kediaman sendiri buat isteri dan dua orang anaknya akhirnya mendapat sinar baharu menerusi bantuan pembinaan rumah bernilai RM90,000 daripada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) melalui Zakat MAINPP.
Bantuan di bawah Skim Inapan Kasih (Bina Baharu) ini menyediakan tempat berteduh yang lebih selesa dan membantu meringankan beban kewangan keluarga dengan menghapuskan keperluan membayar sewa rumah secara bulanan setelah kediaman baharu siap diduduki.
Bekerja sebagai pemandu lori ikan dengan pendapatan yang tidak menentu, Encik Mehat merupakan satu-satunya pencari nafkah keluarga. Isterinya tidak bekerja, manakala kedua-dua anak mereka masih bersekolah menengah. Dengan pendapatan yang terhad, hasrat untuk membina kediaman sendiri sebelum ini sukar direalisasikan.
Melalui bantuan zakat yang disalurkan, sebuah rumah baharu berkeluasan 650 kaki persegi dibina di Seberang Perai Selatan, dilengkapi tiga bilik tidur, ruang tamu, ruang makan, dapur, tandas, ruang mesin basuh serta kemudahan asas lain bagi memenuhi keperluan seisi keluarga.
Bagi keluarga ini, kediaman tersebut membawa makna yang cukup besar. Selain memberikan keselesaan dan jaminan tempat tinggal, bantuan ini turut membuka ruang kepada keluarga untuk mengutamakan perbelanjaan pendidikan anak-anak serta membina kehidupan yang lebih stabil.
Selaras dengan aspirasi APAI2030, inisiatif ini mencerminkan komitmen MAINPP dalam memperkukuh kesejahteraan sosioekonomi asnaf melalui agihan zakat yang berimpak dan berorientasikan keperluan sebenar penerima.
Inilah matlamat transformasi asnaf yang ingin dicapai, apabila agihan zakat bukan sekadar meringankan beban kehidupan hari ini, tetapi turut menjadi pemangkin kepada kestabilan dan kesejahteraan keluarga untuk jangka panjang.







