- 6 October, 2026
- Najwa Ahmad Rudin
- 0
BUTTERWORTH, 6 Oktober 2026 – Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP) terus memperkukuh budaya integriti, tadbir urus yang baik serta pencegahan rasuah dalam kalangan warga kerja menerusi Kursus Modul Pengukuhan Governans, Integriti dan Antirasuah (MPGIA) dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang.
Program yang berlangsung pada 6 Oktober 2026 di Kompleks Darul Hidayah melibatkan seramai 40 orang kakitangan Zakat MAINPP, dengan memberi penekanan khusus terhadap aspek integriti dan risiko dalam pengurusan perolehan organisasi.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Tuan Hazzrie Abu Bakar, Pengurus Besar Jabatan Khidmat Pengurusan, manakala sesi perkongsian bertajuk “Perolehan Bersih, Organisasi Cemerlang” telah disampaikan oleh Tuan Zurazman Noh daripada SPRM Pulau Pinang.
Sepanjang kursus, peserta diberikan pendedahan mengenai kepentingan memastikan setiap proses perolehan dilaksanakan secara telus, adil, berintegriti dan mematuhi peraturan, selain mengenal pasti risiko berkaitan rasuah, salah guna kuasa, konflik kepentingan serta ketirisan.
Program turut merangkumi aktiviti pembentangan kumpulan berasaskan senario berkaitan kesalahan dalam proses perolehan, sekali gus memberi peluang kepada peserta menganalisis risiko serta mencadangkan langkah kawalan dan pencegahan yang bersesuaian.
Sesi soal jawab turut diadakan bagi membincangkan isu berkaitan dilema integriti serta cabaran yang mungkin dihadapi warga kerja dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab harian.
Pelaksanaan Kursus MPGIA ini mencerminkan komitmen Zakat MAINPP untuk memastikan pengurusan dana zakat dilaksanakan dengan tahap akauntabiliti, integriti dan tadbir urus yang tinggi, selaras dengan amanah yang diberikan oleh para pembayar zakat serta masyarakat.






