Program Zakat Talk Bersama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang diadakan hari ini merupakan sebahagian daripada program Jelajah Zakat MAINPP 2025 bertemakan “Indahnya Syariat Zakat”. Program ini telah menghimpunkan hampir 200 orang kakitangan pelbagai peringkat.
Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Encik Ahmad Syawal Abul Haq bin Ahmad Jelani, Ketua Unit Penyelarasan Pembangunan MBPP, diikuti oleh Encik Mohamad Kairi Ghazalli, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP) yang menyampaikan komitmen pihak MAINPP dalam memperluas manfaat zakat kepada golongan yang memerlukan.
Slot Zakat Talk disampaikan oleh Encik Muhammad Asyraf Abdul Wahab, Pengurus Besar Jabatan Kutipan Zakat, Zakat MAINPP, manakala sesi ceramah petang diserikan dengan perkongsian oleh Ustaz Haji Yusoff Yaacob, penceramah jemputan yang menyentuh kepentingan memahami tuntutan dan keberkatan berzakat dalam kehidupan.
Zakat MAINPP turut berharap agar MBPP dapat bersama dalam menyokong Skim Wakalah Zakat MAINPP, khususnya dalam mengagihkan kembali dana zakat yang diterima melalui potongan gaji kakitangan kepada asnaf yang layak, termasuk dalam kalangan warga MBPP sendiri.




