TASEK GELUGOR – Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang(MAINPP) melancarkan Program Jelajah Zakat MAINPP 2025 dengan tema Indahnya Syariat Zakat, bertujuan memperkukuh kefahaman masyarakat tentang peranan zakat sebagai instrumen sosial dalam pembangunan ummah.
Program jelajah ini dirangka dengan objektif utama menjelaskan fungsi MAINPP dalam mengurus kutipan serta agihan zakat secara sistematik, telus dan berkesan, di samping memperkenalkan pelbagai inisiatif strategik sepanjang bulan Jun 2025.
Antara program utama yang diketengahkan termasuk sesi taklimat zakat, klinik zakat untuk pembayar mendapatkan bimbingan terus, serta program pembangunan komuniti khusus untuk golongan asnaf memerlukan di Pulau Pinang.
Dalam majlis pelancaran yang berlangsung, turut diadakan sesi penyerahan cek cura oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang kepada wakil institusi yang terlibat dalam projek pembangunan serta kerja-kerja menaik taraf kemudahan, melibatkan KAFA Masjid Bagan Nyiur, Madrasah Al-Whusta di Tasek Gelugor, dan Sekolah Rendah Islam At-Taqwa, Taman Bertam Indah. Penyerahan ini merupakan simbol komitmen kerajaan negeri dalam menyokong pembangunan institusi pendidikan Islam melalui dana zakat dan inisiatif strategik MAINPP.
YB Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid turut menyerahkan kit bantuan kepada para penerima yang layak di sekitar Masjid Jamek Tasek Gelugor, sebagai tanda keprihatinan dan sokongan berterusan kepada golongan yang memerlukan.
Selain itu, program ini turut memperkukuhkan kerjasama dengan institusi pendidikan, sektor korporat, dan NGO bagi memperluas jaringan ekosistem zakat yang mampan. Kesemua usaha ini dilaksanakan demi memastikan sistem zakat terus relevan sebagai pemangkin kesejahteraan sosial dan ekonomi negeri.
Dalam ucapan penyempurnaannya, YB Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, pelancaran program jelajah ini sejajar dengan Agenda Pembangunan Agama Islam (APAI2030), gagasan MALAYSIA MADANI serta visi Penang 2030, ke arah menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri pintar, hijau dan berteraskan keluarga inspirasi negara.
“Dengan kecekapan tadbir urus zakat yang lebih efektif, ia akan memberikan impak positif bukan sahaja kepada golongan asnaf, malah kepada kesejahteraan ekonomi dan sosial negeri secara keseluruhannya,” katanya.
Jelajah Zakat MAINPP 2025 diharap mampu menyemarakkan kefahaman bahawa zakat adalah sebahagian daripada keindahan syariat Islam yang membawa keberkatan kepada individu dan masyarakat.





