Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP) diumumkan sebagai Naib Johan Kategori A (Jabatan/Agensi Kerajaan Negeri) dalam Anugerah Nirtunai Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2025, sekali gus membawa pulang wang tunai berjumlah RM35,000.
Anugerah ini disampaikan sempena Majlis Peluncuran Cashless 3.0 Negeri Pulau Pinang, anjuran Kerajaan Negeri Pulau Pinang, yang telah dirasmikan oleh YB Tuan H’ng Mooi Lye, Pengerusi Jawatankuasa MMK Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa. Majlis berprestij ini berlangsung di Iconic Marjorie Hotel Penang, Bayan Lepas.
Anugerah tersebut diterima Ketua Pegawai Eksekutifnya, En. Mohamad Kairi Ghazalli, yang menyifatkan pencapaian ini sebagai hasil usaha kolektif seluruh warga kerja Zakat MAINPP, sokongan para pembayar zakat dan rakan teknologi serta pimpinan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang.
Pengiktirafan ini mengiktiraf komitmen berterusan Zakat MAINPP dalam memacu penggunaan transaksi tanpa tunai melalui e-dompet, perbankan dalam talian, kod QR dan sistem pengurusan digital dalaman demi kemudahan umat Islam menunaikan zakat dengan lebih mudah dan selamat.
Selaras aspirasi menjadi negeri bebas tunai 100% menjelang tahun 2030, Zakat MAINPP menegaskan iltizam untuk terus memperkukuh sistem digital, membina platform mesra pengguna serta melaksanakan program literasi digital yang menyeluruh.




