- 5 September, 2026
- Najwa Ahmad Rudin
- 0
SEBERANG JAYA, 5 September 2026 – Bermula dengan sebuah impian, perjalanan menuntut ilmu ke bumi anbia kini menjadi kenyataan buat 85 orang anak Pulau Pinang.
Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), menerusi Zakat MAINPP dan Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang (KITAB), terus memperkukuh pembangunan pendidikan ummah selari dengan Agenda Pembangunan Agama Islam 2030 (APAI2030) melalui bantuan dan tajaan pengajian kepada para pelajar yang akan melanjutkan pengajian di Timur Tengah.
Pelepasan para pelajar dilaksanakan secara berperingkat melibatkan beberapa kumpulan mengikut destinasi dan institusi pengajian masing-masing.
Kumpulan pertama terdiri daripada 44 orang pelajar yang dihantar dari Masjid Seberang Jaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam, 4 September 2026, sebelum meneruskan perjalanan ke Mesir.
Sementara itu, seramai 30 orang lepasan Diploma KITAB akan melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda secara pemindahan kredit di universiti terkemuka di Mesir dan Jordan dengan tajaan penuh daripada MAINPP.
Daripada jumlah tersebut, seramai 18 orang pelajar akan berangkat pada 5 September 2026 ke Universiti Al-Azhar, Mesir bagi mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Syariah Islamiah.
Seterusnya, 12 orang pelajar akan berangkat pada 11 September 2026 ke Universiti WISE, Jordan bagi mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Tahfiz al-Quran Wal Qiraat dan Ijazah Sarjana Muda Fiqh Syafie.
Turut berangkat bersama kumpulan pelajar KITAB ke Jordan ialah seorang lagi pelajar tajaan MAINPP yang akan melanjutkan pengajian di Universiti Yarmouk. Pelajar berkenaan menerima Bantuan Permulaan ke Institusi Pengajian Tinggi sebanyak RM2,500 dan Permulaan Dermasiswa Tahun Pertama berjumlah RM6,000, menjadikan keseluruhan bantuan yang diterima sebanyak RM8,500.
Kumpulan terakhir pula melibatkan 10 orang pelajar yang akan melanjutkan pengajian di Shoubra, Mesir menerusi program di bawah Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Setiap pelajar turut menerima Bantuan Permulaan ke Institusi Pengajian Tinggi sebanyak RM2,500 dan Permulaan Dermasiswa Tahun Pertama berjumlah RM4,000.
Secara keseluruhannya, seramai 55 orang pelajar menerima bantuan pendidikan daripada MAINPP melibatkan peruntukan berjumlah RM359,500. Daripada jumlah tersebut, 54 orang pelajar menerima RM6,500 seorang, manakala seorang pelajar yang akan melanjutkan pengajian di Universiti Yarmouk menerima RM8,500. Sementara itu, 30 orang lepasan Diploma KITAB menerima tajaan penuh MAINPP bagi meneruskan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda.
Inisiatif ini bukan sekadar membuka ruang kepada para pelajar untuk melanjutkan pengajian, malah merupakan pelaburan jangka panjang dalam melahirkan generasi berilmu, berkemahiran dan berkeupayaan memimpin serta menyumbang kepada pembangunan ummah.
MAINPP komited memastikan dana zakat terus dimanfaatkan secara strategik bagi memperluas akses pendidikan dan membina masa depan anak-anak Pulau Pinang. Semoga perjalanan para pelajar dipermudahkan, dikurniakan kejayaan dalam pengajian serta pulang membawa ilmu dan bakti untuk agama, bangsa dan negara, sekali gus merealisasikan aspirasi Transformasi Asnaf Melalui Zakat.







