BUKIT MERTAJAM, 10 September 2026 – Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP) menerima kunjungan hormat delegasi CIMB Islamic Bank Berhad hari ini sebagai usaha memperkukuh hubungan strategik serta meneroka potensi kerjasama yang boleh memberi manfaat kepada pembangunan sosioekonomi ummah.
Sesi pertemuan tersebut dipengerusikan oleh Encik Hazzrie Abu Bakar, Pengurus Besar Jabatan Khidmat Pengurusan Zakat MAINPP, yang turut menjalankan tugas sebagai Ketua Pegawai Operasi Zakat MAINPP.
Delegasi CIMB Islamic Bank Berhad diketuai oleh Tuan Zarul Hafizh Hamzah, Pengarah Perbankan Korporat CIMB Islamic, bersama barisan pegawai CIMB Islamic.
Antara perkara yang dibincangkan termasuk potensi kerjasama dalam bidang kewangan Islam, pendigitalan, pengurusan dana serta inisiatif yang menyokong pembangunan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.
CIMB Islamic Bank Berhad turut mempunyai rekod komitmen sebagai muzakki Zakat MAINPP dengan pembayaran zakat sebanyak RM240,000 pada tahun 2024 dan RM400,000 pada tahun 2025.
Selain itu, warga CIMB turut menyertai Skim Sakinah melalui potongan gaji bulanan, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan dalam menunaikan kewajipan zakat secara tersusun dan konsisten.
Zakat MAINPP menghargai komitmen CIMB Islamic Bank Berhad dan berharap hubungan strategik ini dapat terus diperkasa melalui kolaborasi yang memberi impak lebih besar kepada asnaf dan masyarakat.