
BUTTERWORTH, 29 Oktober 2026 – Zakat MAINPP menerusi Jabatan Kutipan Zakat telah menganjurkan Bengkel Pemantapan Pengurusan Wakil Kutipan Zakat MAINPP Tahun 2026 pada 29 Oktober 2026 bertempat di Pusat Konvensyen PICCA, Butterworth.
Bengkel ini menghimpunkan wakil kutipan daripada pelbagai organisasi termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sekolah Islam, masjid, surau dan syarikat bagi meningkatkan kefahaman mengenai peranan, tanggungjawab serta tatacara pengurusan kutipan zakat yang lebih sistematik dan berkesan.
Ketua Pegawai Eksekutif Zakat MAINPP, YBrs Tuan Mohamad Kairi Ghazalli, dalam ucapan aluannya menekankan kepentingan integriti, ketelusan dan pematuhan prosedur dalam memastikan setiap kutipan zakat diuruskan dengan penuh amanah serta memelihara keyakinan masyarakat terhadap institusi zakat.
Sepanjang bengkel, para peserta diberikan pendedahan berkaitan pengurusan rekod dan dokumentasi, tatacara penyerahan kutipan, pengurusan agihan wakalah serta strategi meningkatkan kutipan zakat. Sesi libat urus turut diadakan bagi mengenal pasti cabaran operasi dan mendapatkan cadangan penambahbaikan daripada wakil kutipan.
Penganjuran bengkel ini mencerminkan komitmen Zakat MAINPP dalam memperkukuh kerjasama strategik bersama wakil kutipan bagi memperluas jaringan pembayaran zakat dan meningkatkan keberkesanan pengurusan kutipan di Pulau Pinang.
Usaha ini turut mendukung aspirasi Transformasi Asnaf Melalui Zakat, selaras dengan APAI 2030, agar peningkatan kutipan dapat diterjemahkan kepada manfaat agihan yang lebih menyeluruh serta pembangunan sosioekonomi golongan asnaf.