
KEPALA BATAS, 27 Oktober 2026 -Dengan peruntukan sebanyak RM49,550.00, Zakat MAINPP terus komited memperkasa usahawan asnaf melalui pembangunan kemahiran dan peningkatan kompetensi bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan serta menjana pendapatan yang lebih stabil.
Pada 27 hingga 29 Oktober 2026, Zakat MAINPP dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang telah menganjurkan Kursus Pemantapan Kompetensi Pengamal Perkhidmatan Penjagaan Tradisional Postnatal Pulau Pinang 2026 di Bertam Resort, Pulau Pinang. Kursus ini melibatkan pengamal penjagaan tradisional selepas bersalin, termasuk usahawan asnaf Ummi Terapi bimbingan Zakat MAINPP.
Peserta diberikan pendedahan berkaitan kesihatan ibu dan bayi, komplikasi selepas bersalin, kesihatan mental, penyusuan susu ibu, pengurusan kecemasan serta latihan praktikal Advance Postnatal Care. Program turut diserikan dengan sesi motivasi dan kerohanian “Merawat dengan Kasih, Berkhidmat dengan Ikhlas” oleh Encik Hazzrie bin Abu Bakar.
Majlis penutup telah disempurnakan oleh Tuan Mohamad Kairi bin Ghazalli, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat MAINPP, yang turut menyampaikan sijil penyertaan dan beg perubatan kepada peserta.
Inisiatif ini diharapkan dapat meningkatkan profesionalisme, mengembangkan perniagaan dan memperkukuh ekonomi usahawan asnaf agar mampu berdikari serta berpotensi menjadi pembayar zakat, selaras dengan aspirasi Transformasi Asnaf Melalui Zakat di bawah kerangka APAI 2030.