
SINTOK, 26 Oktober 2026 – Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menerusi Zakat MAINPP memperuntukkan RM360,180.00 bagi tahun 2026 untuk membiayai latihan kemahiran 20 pelatih asnaf di Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Utara, Sintok, Kedah, menerusi kursus Mobile Crane selama tiga bulan dan Hydraulic Excavator selama dua bulan.
Pada 26 Oktober 2026, lawatan dan ziarah pelatih asnaf diketuai oleh YBrs. Tuan Hazzrie bin Abu Bakar, Pengurus Besar Jabatan Khidmat Pengurusan yang sedang menjalankan tugas Ketua Pegawai Operasi Zakat MAINPP. Beliau turut dijemput sebagai tokoh dalam Program Bicara Tokoh Siri Ke-14 anjuran ABM Wilayah Utara.
Kerjasama sejak 2018 hingga 2025 telah memberi manfaat kepada 100 pelatih melalui pendekatan Train and Place, yang menghubungkan latihan kemahiran dengan peluang pekerjaan.
Dalam majlis yang sama, MAINPP turut menerima cek cura zakat perniagaan daripada ABM sebagai sokongan terhadap pembangunan sosioekonomi umat Islam.
Sejajar dengan aspirasi APAI2030, inisiatif ini merupakan sebahagian daripada agenda Transformasi Asnaf Melalui Zakat bagi melahirkan asnaf yang berdikari, berpendapatan stabil dan berupaya menjadi pembayar zakat pada masa hadapan.