- 23 October, 2026
- Najwa Ahmad Rudin
- 0
BUTTERWORTH, 23 Oktober 2026–Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menerusi Zakat MAINPP terus memperkukuh kerjasama strategik bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melalui penganjuran Program Jelajah Zakat MAINPP Bersama Warga TUDM Butterworth yang berlangsung pada 23 Oktober 2026 bertempat di Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang.
Program yang bermula seawal pagi dan dijadual berlangsung sehingga malam ini menghimpunkan pelbagai pengisian merangkumi kebajikan, pendidikan, penerangan zakat, kemahiran pengurusan halal serta pengukuhan nilai kerohanian dan integriti dalam kalangan warga TUDM.
Majlis perasmian pada sebelah pagi telah disempurnakan oleh YB Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang merangkap Yang Dipertua MAINPP, yang turut menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada warga TUDM dan keluarga mereka.
Menerusi program ini, Zakat MAINPP menyampaikan sumbangan tunai dan bakul makanan kepada 83 penerima, terdiri daripada 11 orang balu TUDM dan 72 penerima lain. Sumbangan turut diberikan kepada 30 anak anggota TUDM, melibatkan 24 anak istimewa, lima pelajar cemerlang serta seorang huffaz cilik berusia enam tahun yang telah berjaya mewakili negeri ke peringkat kebangsaan.
Zakat MAINPP turut menyalurkan sumbangan sebanyak RM2,000 kepada surau TUDM bagi menyokong aktiviti keagamaan dan usaha pengimarahan surau dalam kalangan warga pangkalan udara berkenaan.
Program ini turut mendapat sokongan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selaku rakan strategik yang menaja deposit Simpan SSPN Prime berjumlah RM3,000 melalui dana tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada 30 anak anggota TUDM. Zakat MAINPP turut menambah sumbangan sebanyak RM100 bagi setiap anak, menjadikan setiap penerima memperoleh simpanan pendidikan sebanyak RM200 seorang dengan jumlah keseluruhan RM6,000.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen MAINPP dalam memperkukuh kebajikan warga pertahanan negara, khususnya anggota dan keluarga yang berdepan cabaran kehidupan, di samping memberikan penghargaan terhadap jasa serta pengorbanan mereka dalam mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara.
Dalam masa yang sama, program ini turut menjadi platform memperluas kefahaman warga TUDM mengenai kewajipan zakat harta dan kemudahan pembayaran melalui potongan gaji bulanan, sekali gus memperkukuh kesedaran terhadap peranan zakat dalam pembangunan sosioekonomi ummah.
Turut hadir ialah YBhg. Brigedier Jeneral Razali Ahmad Jumali TUDM, Komander Pangkalan Udara Butterworth; YBhg. Brigedier Jeneral Haji Mohd Hamzah Adam, Timbalan Ketua Pengarah Dasar dan Pengurusan Bahagian Kerohanian Islam Angkatan Tentera Malaysia; YBhg. Dato’ Haji Rosidi Hussain, Setiausaha MAINPP; dan YBhg. Tuan Mohamad Kairi Ghazalli, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat MAINPP.
Hadir sama, YBhg. Tuan Muhammad Muhsin Abdul Rahman, Pengarah Negeri, Pejabat PTPTN Negeri Pulau Pinang; YBhg. Tuan Abdul Mohsein Mohd Shariff, Ketua Pegawai Eksekutif Wakaf MAINPP; serta YBhg. Tuan Ajwad Abdul Aziz, Pegawai Tadbir Agama yang mewakili Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), bersama pegawai-pegawai kanan TUDM dan delegasi Zakat MAINPP.
Jelajah Zakat MAINPP diteruskan pada sebelah petang dengan Kursus Asas Sembelihan dan Pengurusan Halal yang merangkumi sesi teori serta amali, sebelum disusuli ceramah khas berkaitan integriti perajurit pada sebelah malam.
Penganjuran program ini selaras dengan aspirasi APAI2030 yang menekankan pembangunan insan dan kesejahteraan masyarakat melalui pendekatan “Transformasi Asnaf Melalui Zakat”, sekali gus memperkukuh hubungan strategik antara institusi zakat dengan pasukan keselamatan negara.







