
BUTTERWORTH, 1 Oktober 2026– Zakat MAINPP meneruskan usaha menyantuni golongan asnaf melalui ziarah kebajikan kepada pasangan warga emas, Encik Yusoff bin Daud dan Puan Jamaliah binti Din di Pekan Darat, Butterworth.
Encik Yusoff kini terlantar akibat strok, manakala isterinya, Puan Jamaliah, perlu menjalani rawatan dialisis secara berkala. Pasangan ini merupakan penerima Skim Kewangan Bulanan Zakat MAINPP bagi membantu meringankan beban sara hidup dan keperluan harian mereka.
Mengambil kira keadaan kesihatan Puan Jamaliah, Zakat MAINPP turut meluluskan Skim Perubatan Sekaligus Permulaan Dialisis, termasuk kemudahan rawatan di Pusat Hemodialisis Zakat MAINPP (PHZ) atau pusat panel yang ditetapkan.
Ziarah ini diketuai oleh Tuan Hazzrie Abu Bakar, Pengurus Besar Jabatan Khidmat Pengurusan yang juga menjalankan tugas sebagai Ketua Pegawai Operasi Zakat MAINPP, bersama Encik Zaiasmawi Nayan, Pengurus Besar Jabatan Agihan Zakat, bagi melihat sendiri keadaan pasangan berkenaan serta memastikan bantuan yang disalurkan benar-benar memenuhi keperluan semasa mereka.
Pendekatan turun padang ini juga selari dengan Agenda Pembangunan Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2030 (APAI2030) yang memberi penekanan kepada usaha memperkukuh kebajikan, kesejahteraan dan pembangunan ummah secara menyeluruh, khususnya dalam memastikan golongan yang memerlukan terus mendapat pembelaan dan sokongan sewajarnya.
Semoga segala urusan rawatan Encik Yusoff dan Puan Jamaliah dipermudahkan serta mereka dikurniakan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian ini.