- 30 September, 2026
- Najwa Ahmad Rudin
- 0
ISTERI HIDAP KANSER LIDAH, ZAKAT MAINPP SALUR BANTUAN PERUBATAN FARMASI PANEL SECARA BULANAN
BAYAN LEPAS, 30 September 2026 – YB Dato’ Dr. Mohamad bin Abdul Hamid, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang merangkap Yang Dipertua MAINPP, bersama Tuan Mohamad Kairi Ghazalli, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat MAINPP dan Team Peduli Asnaf telah menziarahi keluarga Muhamad Hasfis Abas di Kampung Baru Sungai Ara bagi melihat sendiri keadaan serta keperluan semasa keluarga berkenaan.
Isteri beliau, Nurliza Rahim, kini sedang menjalani rawatan akibat kanser lidah, rahim dan usus. Keadaan kesihatan yang dialami memerlukan rawatan berterusan, penjagaan harian serta pemantauan rapi, khususnya selepas melalui proses rawatan.
Muhamad Hasfis pula bekerja sebagai pengawal keselamatan secara sambilan, manakala isterinya tidak lagi bekerja bagi memberi tumpuan kepada proses rawatan dan pemulihan. Keluarga ini kini tinggal di sebuah rumah sewa.
Bagi membantu meringankan beban keluarga, Zakat MAINPP telah meluluskan bantuan perubatan melalui Skim Farmasi Panel Bulanan bagi menampung keperluan rawatan dan penjagaan, termasuk susu khas serta peralatan perubatan yang diperlukan secara berterusan.
Dalam ziarah tersebut, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang turut meminta Ketua Pegawai Eksekutif Zakat MAINPP supaya meneliti keperluan dan kelayakan keluarga ini untuk menerima bantuan bulanan, dengan mengambil kira keadaan kesihatan pesakit, pendapatan isi rumah serta komitmen perbelanjaan keluarga.
Aspek kediaman turut diberikan perhatian. Kediaman semasa yang berada di tingkat atas menyukarkan pergerakan pesakit. Sehubungan itu, beliau turut mencadangkan supaya keperluan keluarga ini untuk berpindah ke rumah bertanah yang lebih mudah diakses, selesa dan kondusif diteliti oleh pihak Zakat MAINPP berdasarkan kelayakan serta bentuk bantuan yang bersesuaian.
Turut serta dalam ziarah ini ialah wakil daripada Cancer Survivors Malaysia dan PELITAWANIS TNB, yang bersama-sama memberikan sokongan kepada keluarga berkenaan.
Semoga segala urusan rawatan Puan Nurliza dipermudahkan dan keluarga ini terus diberikan kekuatan menghadapi ujian. Zakat MAINPP akan terus berusaha memastikan amanah zakat sampai kepada mereka yang memerlukan, selaras dengan aspirasi Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang 2030.







