- 28 September, 2026
- Najwa Ahmad Rudin
- 0
RM75,167 WAKALAH AGIHAN ZAKAT DISALUR KEPADA 12 FORMASI DAN PASUKAN ATM
BAYAN LEPAS, 29 Semptember – Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini menjayakan Program Jelajah Zakat MAINPP dan Serahan Wakalah Agihan Zakat Bersama Angkatan Tentera Malaysia Tahun 2026 bertempat di Kem Tun Razak, Pulau Pinang.
Majlis telah disempurnakan oleh YB Dato’ Dr. Mohamad bin Abdul Hamid, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang merangkap Yang Dipertua MAINPP dan Pengerusi Lembaga Pengarah Zakat MAINPP. Kedudukan beliau sebagai Yang Dipertua MAINPP turut disenaraikan dalam rekod rasmi MAINPP.
Pada program ini, Zakat MAINPP menyerahkan Wakalah Agihan Zakat berjumlah RM75,167 kepada 12 formasi dan pasukan ATM yang merangkumi Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia. Peruntukan tersebut akan dimanfaatkan bagi tujuan yang diluluskan termasuk pengisian kerohanian dan pembangunan agama dalam kalangan warga pasukan.
Kerjasama ini turut mempunyai asas yang kukuh melalui komitmen warga ATM dalam menunaikan kewajipan zakat. Berdasarkan rekod Januari hingga Disember 2025, sebanyak RM601,336.75 telah diterima oleh Zakat MAINPP melalui potongan gaji anggota ATM.
Program turut diisi dengan Taklimat Zakat Harta olehTuan Haji Azhari Ahmad serta ceramah agama bertajuk “Wira Negara, Harapan Asnaf” yang disampaikan oleh Sahibus Samahah Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Sukki Othman, Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Turut berlangsung ialah simbolik penyerahan borang penyertaan Skim Sakinah (Potongan Gaji Bulanan), penyampaian Wakalah Agihan Zakat MAINPP dan Geran Kerohanian.
Dalam ucapannya, YB Dato’ Dr. Mohamad turut mengajak lebih ramai anggota ATM yang memenuhi syarat untuk menunaikan zakat melalui Skim Sakinah secara potongan gaji bulanan, sekali gus memudahkan pelaksanaan kewajipan zakat secara konsisten.
Pada tahun 2025, Zakat MAINPP telah mengagihkan sebanyak RM200.11 juta kepada 45,831 penerima individu dan institusi, meningkat 23 peratus berbanding tahun sebelumnya. Agihan tersebut terus digerakkan berteraskan aspirasi “Transformasi Asnaf Melalui Zakat”, dengan matlamat membantu memenuhi keperluan semasa asnaf di samping membuka ruang kepada mereka membina kehidupan yang lebih baik.
Usaha ini turut selari dengan Agenda Pembangunan Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2030 (APAI2030) yang menggariskan pembangunan sosioekonomi, pendidikan, keluarga, anak muda serta dakwah dan tarbiah sebagai antara teras pembangunan ummah di Pulau Pinang.
Semoga jalinan strategik antara Zakat MAINPP, KAGAT dan Angkatan Tentera Malaysia terus diperkukuh dalam meningkatkan kesedaran berzakat, memperluas manfaat agihan serta memperkasakan pembangunan kerohanian dan kebajikan warga ATM.
TRANSFORMASI ASNAF MELALUI ZAKAT





