- 26 September, 2026
- Najwa Ahmad Rudin
- 0
RM180,000 DIPERUNTUKAN UNTUK 10 PELAJAR ASNAF IKUTI KURSUS 18 BULAN DI PSDC
BAYAN LEPAS, 26 September – Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) memperuntukkan sebanyak RM180,000 bagi menaja 10 orang pelajar daripada keluarga asnaf mengikuti pengajian dalam Program Industrial Automation Technology (IAT) dalam bidang Mechatronics selama 18 bulan di Penang Skills Development Centre (PSDC).
Dengan kos sekitar RM18,000 bagi setiap pelajar, program ini merupakan antara usaha Zakat MAINPP dalam memperkukuh pembangunan modal insan asnaf melalui pendidikan dan latihan kemahiran yang mempunyai nilai tinggi dalam pasaran pekerjaan.
Dalam kunjungan Zakat MAINPP ke PSDC baru-baru ini yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Zakat MAINPP, Tuan Mohamad Kairi Ghazalli, delegasi turut melihat sendiri perkembangan para pelatih yang sedang mengikuti pengajian.
Ketua Pegawai Eksekutif turut diberikan taklimat oleh Encik Mohd Hisham, Pengurus Kanan, Perhubungan Kerajaan PSDC, berkaitan prestasi, perkembangan pengajian serta persediaan para pelajar sebelum memasuki alam pekerjaan.
Apa yang lebih signifikan, para pelatih ini mempunyai jaminan penempatan pekerjaan selepas berjaya menamatkan pengajian, sekali gus membuka laluan kepada mereka untuk memperoleh pendapatan yang stabil, membantu keluarga serta berusaha keluar daripada kitaran kemiskinan.
Perkara yang cukup bermakna dalam sesi pertemuan tersebut apabila para pelatih turut menyatakan hasrat untuk menunaikan kewajipan berzakat apabila mula bekerja kelak.
Hasrat itu menggambarkan matlamat sebenar pembangunan asnaf yang ingin dicapai oleh Zakat MAINPP daripada penerima bantuan, kepada individu berkemahiran dan berpendapatan, seterusnya berpotensi menjadi muzakki pada masa hadapan.
Usaha ini juga selari dengan Agenda Pembangunan Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2030 (APAI2030) yang memberi penekanan kepada pembangunan ummah secara menyeluruh, termasuk melalui pemerkasaan pendidikan, kemahiran dan sosioekonomi golongan asnaf. Zakat MAINPP akan terus memperkukuh inisiatif yang berupaya membina keupayaan asnaf agar lebih berdikari, berdaya saing dan seterusnya mampu menyumbang kembali kepada masyarakat.









