- 24 September, 2026
- Najwa Ahmad Rudin
- 0
MCDONALD'S MALAYSIA TUNAI ZAKAT PERNIAGAAN, KONGSI REZEKI BERSAMA ASNAF PULAU PINANG
GEORGE TOWN, 24 September – McDonald’s Malaysia, sebuah syarikat yang 100% dimiliki oleh orang Islam tempatan, menunaikan zakat perniagaan bagi tahun 2026 berjumlah RM150,000 kepada Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP).
Penyerahan zakat disempurnakan oleh YBrs. Encik Ahmad Shihafudin Mustapha, Pengarah Pematuhan & Kolaborasi Institusi McDonald’s Malaysia kepada YBrs. Tuan Mohamad Kairi Ghazalli, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat MAINPP.
Majlis yang berlangsung di McDonald’s Pandu-Lalu Bandar Sri Pinang turut menyaksikan pengagihan 50 Kotak Rezeki kepada keluarga asnaf. Setiap penerima menerima barangan keperluan asas bernilai RM150, beras serta wang tunai RM100.
Dalam masa yang sama, sebanyak 800 hidangan percuma turut disediakan oleh McDonald’s Malaysia untuk masyarakat setempat.
Menerusi mekanisme wakalah zakat, McDonald’s Malaysia turut menyumbangkan lima buah komputer riba kepada lima orang pelajar Inapan Kasih Sayang MAINPP sebagai sokongan kepada keperluan pendidikan mereka.
Kerjasama strategik antara Zakat MAINPP dan McDonald’s Malaysia ini selari dengan aspirasi Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang 2030 (APAI2030) dalam memperkukuh pembangunan sosioekonomi umat Islam serta memastikan manfaat zakat terus diperluas kepada golongan asnaf di Pulau Pinang.
Komitmen syarikat korporat dalam menunaikan zakat perniagaan juga memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekosistem zakat, sekali gus membolehkan lebih banyak program pembangunan, kebajikan dan pendidikan asnaf dilaksanakan secara berterusan.
TRANSFORMASI ASNAF MELALUI ZAKAT





