- 22 September, 2026
- Najwa Ahmad Rudin
- 0
RM 14.6 JUTA SETAHUN PERKUKUH KEBAJIKAN GURU KAFA DAN PENGGERAK MASJID PULAU PINANG
SEBERANG JAYA, 22 September –Kebajikan Guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), imam, bilal dan siak terus diperkukuh dalam usaha memastikan institusi pendidikan Islam dan masjid di Pulau Pinang terus memainkan peranan penting dalam pembangunan ummah.
Dalam Majlis Perhimpunan Guru KAFA, Pegawai Masjid dan Siak Tahun 2026, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), YB Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid mengumumkan tambahan kenaikan elaun Guru KAFA sebanyak RM200 sebulan.
Kenaikan tersebut menjadikan elaun Guru KAFA sebanyak RM1,700 sebulan, manakala Ketua Guru menerima RM1,800 sebulan. Seramai 1,650 Guru KAFA akan menerima manfaat dengan keseluruhan komitmen tahunan sebanyak RM11.19 juta, termasuk tambahan RM3.96 juta daripada sumber zakat.
Pendidikan KAFA di Pulau Pinang turut terus diperkasakan. Kini terdapat 208 Premis KAFA dan 14 Sekolah Islam Berkaitan KAFA di seluruh negeri.
Seiring perkembangan teknologi pendidikan, sebanyak 17 unit papan pintar atau smart board turut disalurkan kepada 13 Premis KAFA dan institusi terpilih yang melaksanakan Program KAFA. Kemudahan ini menjadi antara langkah memperkukuh proses pengajaran dan pembelajaran melalui penggunaan bahan bantu mengajar digital yang lebih interaktif dan bersesuaian dengan keperluan pendidikan masa kini.
Malah, antara contoh yang diketengahkan ialah Sekolah Rendah Islam Syeikh Abdullah Fahim di Bertam yang telah melaksanakan latihan dalaman kepada guru sehingga mampu menghasilkan bahan bantu mengajar digital serta mengaplikasikan pembelajaran berasaskan kecerdasan buatan dalam pengajaran harian.
Tahun 2026 juga menyaksikan penubuhan lima Premis KAFA baharu termasuk Sekolah Rendah Islam Masjid Daerah SPU di Telok Air Tawar yang dibangunkan dengan kos RM4.01 juta. Program KAFA Pratahfiz yang dirintis tahun ini turut akan diperluaskan ke empat lagi Premis KAFA bagi kohort 2027.
Dalam masa sama, kebajikan penggerak institusi masjid turut diberikan perhatian apabila elaun imam, bilal dan siak dinaikkan. Seramai 1,364 imam, bilal dan siak lantikan MAINPP akan menerima manfaat mulai Oktober 2026 dengan keseluruhan peruntukan tahunan sebanyak RM3.43 juta.
Secara keseluruhannya, lebih RM14.6 juta diperuntukkan setiap tahun bagi elaun Guru KAFA serta imam, bilal dan siak, sebagai sebahagian usaha memperkukuh mereka yang menjadi tunjang pendidikan Islam dan pengimarahan masjid di negeri ini.
Usaha ini selari dengan Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang 2030 (APAI2030), khususnya dalam memperkasakan pendidikan, dakwah dan tarbiah serta membangunkan masyarakat Islam yang berilmu, sejahtera dan berdaya maju.
Zakat yang ditunaikan oleh para muzakki terus diterjemahkan kepada pembangunan umat melalui pendidikan, pengukuhan institusi agama dan pembangunan modal insan.







