- 22 September, 2026
- Najwa Ahmad Rudin
- 0
SESI LIBAT URUS TIMBALAN KETUA MENTERI 1 PULAU PINANG BERSAMA BADAN - BADAN BERUNIFORM NEGERI PULAU PINANG
BAYAN LEPAS, 22 September 2026 – Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP) telah mengadakan Sesi Libat Urus Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Bersama Badan-Badan Beruniform Negeri Pulau Pinang sebagai platform memperkukuh kerjasama serta meningkatkan kefahaman berkaitan kutipan dan agihan zakat di negeri ini.
Sesi berkenaan menghimpunkan wakil daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Penjara Malaysia serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Zakat MAINPP, YBrs. Tuan Mohamad Kairi bin Ghazalli, diikuti tausiah oleh Timbalan Mufti Pulau Pinang dan ucapan oleh Setiausaha MAINPP, YBhg. Dato’ Haji Rosidi bin Hussain.
Sesi libat urus seterusnya disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang merangkap Yang Dipertua MAINPP, YB Dato’ Dr. Mohamad bin Abdul Hamid.
Antara perkara utama yang diberikan perhatian ialah Skim Sakinah atau Skim Potongan Zakat Bulanan serta Skim Wakalah, termasuk perbincangan mengenai usaha memperkukuh kerjasama bagi meningkatkan kutipan zakat dalam kalangan warga badan-badan beruniform.
Turut dikongsikan ialah perkembangan agihan zakat MAINPP, penerangan berkaitan lapan golongan asnaf yang berhak menerima zakat serta bagaimana dana zakat yang dikumpulkan dimanfaatkan melalui pelbagai skim dan program pembangunan asnaf di Pulau Pinang.
Sesi ini turut membuka ruang perbincangan secara langsung antara kepimpinan MAINPP, Zakat MAINPP dan badan-badan beruniform dalam memperkukuh kefahaman mengenai peranan zakat sebagai instrumen pembangunan sosioekonomi umat Islam.







