- 18 September, 2026
- Najwa Ahmad Rudin
- 0
PBAPP TUNAI ZAKAT PERNIAGAAN RM100,000.00 KEPADA ZAKAT PULAU PINANG
GEORGE TOWN, 18 September 2026 – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP) hari ini menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM100,000.00 kepada Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP), meneruskan komitmen syarikat dalam melaksanakan kewajipan zakat perniagaan. Ini merupakan kali kedua PBAPP menunaikan zakat perniagaan selepas pelaksanaannya buat kali pertama pada tahun 2025.
Majlis tersebut dihadiri YB Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang merangkap Yang Dipertua MAINPP, YB Dato’ Dr Jafri Abdul Jalil, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan YBhg. Dato’ Ir. Pathmanathan K., Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP.
Turut hadir YBhg. Dato’ Haji Rosidi Hussain, Setiausaha MAINPP; YBhg. Dato’ Dastagir Mohd Yassin, Ahli Lembaga Pengarah Zakat MAINPP; serta YBrs Tuan Mohamad Kairi bin Ghazalli, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat MAINPP.
Dalam ucapannya, YB Dato’ Dr. Mohamad menegaskan bahawa zakat merupakan antara instrumen penting dalam pembangunan sosioekonomi umat Islam. Dana zakat yang dikumpulkan membolehkan pelbagai usaha pembangunan dilaksanakan merangkumi kebajikan dan sosial, kesihatan, pendidikan dan penajaan, pembangunan ekonomi dan keusahawanan serta kesejahteraan golongan asnaf.
Sehingga Ogos 2026, sebanyak 823 syarikat telah menunaikan zakat perniagaan dengan kutipan berjumlah RM18.66 juta, meningkat 29 peratus berbanding tempoh sama tahun 2025. Dalam tempoh yang sama, keseluruhan kutipan zakat mencapai RM119.62 juta, manakala sebanyak RM182.62 juta telah diagihkan melalui pelbagai program yang memanfaatkan lebih 29,791 asnaf di seluruh Pulau Pinang.
Komitmen sektor korporat seperti PBAPP amat penting dalam memperkukuh ekosistem zakat serta menyokong pelaksanaan Agenda Pembangunan Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2030 (APAI2030), khususnya dalam usaha meningkatkan taraf hidup, memperkukuh pendidikan dan pembangunan modal insan, membangunkan keusahawanan serta meningkatkan daya tahan ekonomi umat Islam.
Zakat MAINPP menyeru lebih banyak syarikat dan entiti perniagaan yang memenuhi syarat untuk menunaikan kewajipan zakat perniagaan melalui Zakat MAINPP. Setiap zakat yang ditunaikan membuka ruang lebih luas untuk memperkasa asnaf agar mampu berdikari, meningkatkan taraf kehidupan dan seterusnya berpotensi menjadi muzakki.







