- 18 September, 2026
- Najwa Ahmad Rudin
- 0
KEM PEJUANG MATEMATIK 3.0 PERKUKUH PERSEDIAN SPM 2026
BALIK PULAU, 18 September 2026 – Seramai 120 orang murid daripada 16 buah Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) di Pulau Pinang menyertai Kem Pejuang Matematik 3.0 SPM 2026 yang berlangsung pada 18 hingga 20 September 2026 di Institut Latihan Islam Pulau Pinang (ILIPP), Pantai Acheh, Balik Pulau.
Kem ini merupakan sebahagian daripada Program Lonjakan SPM MADANI yang dikelolakan oleh Unit Pendidikan dan Dermasiswa, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dengan kerjasama Zakat MAINPP serta Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP).
Dengan bimbingan 10 orang Jurulatih Utama yang terdiri daripada guru Matematik, para peserta diberikan pendedahan secara intensif bagi memperkukuh penguasaan mata pelajaran Matematik, meningkatkan teknik menjawab soalan serta membina keyakinan dalam menghadapi peperiksaan SPM 2026.
Pelaksanaan program ini turut mendukung aspirasi Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang 2030 (APAI2030) yang memberi penekanan kepada pembangunan umat Islam secara menyeluruh, termasuk melalui pengukuhan pendidikan dan pembangunan modal insan.
Melalui pendekatan ini, MAINPP bersama Zakat MAINPP terus memperluas akses kepada peluang pendidikan berkualiti, khususnya kepada pelajar sekolah agama, agar mereka dapat meningkatkan pencapaian akademik serta mempunyai asas yang lebih kukuh untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Program Lonjakan SPM MADANI turut menyediakan kelas tambahan, bengkel teknik menjawab peperiksaan dan bimbingan akademik secara percuma kepada para pelajar. Usaha ini menjadi sebahagian daripada langkah berterusan dalam memperkasa generasi muda Islam Pulau Pinang selaras dengan hala tuju APAI2030.
Pendidikan merupakan antara asas penting dalam membina kekuatan sosioekonomi umat. Melalui dana zakat, peluang untuk memperoleh pendidikan dan bimbingan yang lebih baik dapat diperluaskan agar anak-anak daripada keluarga yang memerlukan turut mempunyai ruang untuk mencipta kejayaan dan mengubah masa hadapan mereka.

