ZAKAT MAINPP BERSAMA WARGA 2 REJIMEN KPTD DALAM PROGRAM MAULIDUR RASUL DAN TAKLIMAT ZAKAT
Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP) bersama dalam penganjuran Program Ceramah Maulidur Rasul dan Taklimat Zakat MAINPP anjuran Rejimen Ke-2 Kor Polis Tentera Diraja (2 Rej KPTD) yang berlangsung di Dewan KOMATRA, Kem Sungai Ara, Bayan Lepas.
Program dimulakan dengan Ceramah Maulidur Rasul bertajuk “Bila Akhlak Menjadi Senjata; Meneladani Akhlak Rasulullah SAW dalam Membina Jiwa Pejuang” yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Firdaous bin Saifuddin, Bahagian Pemasaran Zakat Harta, Zakat MAINPP.
Sesi diteruskan dengan Taklimat Zakat MAINPP bertajuk “Kewajipan Menunaikan Zakat Harta” oleh Ustaz Haji Azhari bin Ahmad, Pengurus Kanan Bahagian Pengurusan Fitrah dan Wang Kutipan. Taklimat memberi penekanan terhadap kefahaman mengenai kewajipan berzakat serta tanggungjawab umat Islam dalam menunaikan tuntutan tersebut.
Hadir sama, Lt Kol Kamarulzaman bin Abu Kassim, Pegawai Memerintah Rejimen Ke-2 Kor Polis Tentera Diraja; Mej Mohd Shefrie Haizad bin Hamzah, Penolong Pegawai Memerintah 2 Rej KPTD; Mej Mohamad Aswad bin Abdul Rahman, Pegawai Agama 2 Rej KPTD; serta RSM, KSM, para bintara dan anggota 2 Rej KPTD.
Turut dibuka Kaunter Zakat MAINPP bagi memudahkan warga 2 Rej KPTD mendapatkan penerangan, semakan dan urusan berkaitan zakat.
Penglibatan Zakat MAINPP dalam program ini merupakan antara usaha memperluas kefahaman masyarakat mengenai kewajipan berzakat, mendekatkan institusi zakat dengan pelbagai lapisan masyarakat serta menyokong aspirasi Agenda Pembangunan Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2030 (APAI2030) ke arah memperkukuh kefahaman, penghayatan dan pembangunan umat Islam di Pulau Pinang.