Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP) memperteguh komitmen menolak rasuah melalui lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang disertai seluruh kakitangannya, sebagai langkah memperkukuh integriti dan akauntabiliti dalam pengurusan zakat.
Setiausaha MAINPP, Dato’ Haji Rosidi Hussain berkata, pelaksanaan IBR mencerminkan iltizam berterusan institusi zakat negeri untuk menegakkan prinsip tadbir urus yang bersih dan beramanah, selari dengan aspirasi kerajaan negeri serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“IBR bukan hanya upacara simbolik, tetapi satu komitmen bersama untuk menolak sebarang bentuk salah guna kuasa, bermula dari peringkat pengurusan tertinggi hingga ke semua kakitangan,” katanya dalam ucapannya di Darul Hidayah, Permatang Gelam.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat MAINPP, Mohamad Kairi Ghazalli. Tambah Dato’ Haji Rosidi Hussain, budaya kerja yang menjunjung nilai integriti perlu diterapkan dalam setiap aspek operasi bagi menjaga kepercayaan masyarakat terhadap institusi zakat.




