- 15 October, 2026
- Najwa Ahmad Rudin
- 0
BAYAN LEPAS, 15 Oktober 2026 – Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) terus memperkukuh jaringan kerjasama strategik bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam usaha memperluas manfaat zakat, memperkasa kebajikan masyarakat serta meningkatkan kesejahteraan rakyat Pulau Pinang.
Komitmen tersebut dizahirkan menerusi kunjungan hormat delegasi TNB yang diketuai oleh Encik Wan Ishak bin Soed, Pengurus Besar TNB Pulau Pinang kepada YB Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang merangkap Yang Dipertua MAINPP.
Pertemuan ini turut menyaksikan penyerahan tiga (3) cek cura daripada TNB kepada MAINPP sebagai sokongan terhadap pelaksanaan inisiatif kebajikan, pendidikan dan pembangunan kemudahan asas yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.
Antara sumbangan yang disalurkan ialah Wakalah Zakat RM334,500 bagi Projek Penyediaan Peralatan Elektrik Asas Rumah Pangsa Wakaf Settee Aisyah untuk meningkatkan kemudahan serta keselesaan penghuni. TNB turut menyalurkan RM5,000 bagi sumbangan perabot asas kepada mangsa kebakaran dalam usaha membantu keluarga terjejas membina semula kehidupan.
Selain itu, menerusi Program Ceria Ke Sekolah, TNB turut menyumbangkan kelengkapan persekolahan kepada pelajar bagi meringankan beban perbelanjaan keluarga serta menyokong keperluan pendidikan anak-anak.
Inisiatif ini adalah komitmen berterusan sektor korporat dalam memperkukuh pembangunan sosial dan kebajikan masyarakat, selaras dengan aspirasi Agenda Pembangunan Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2030 (APAI2030) yang menekankan pembangunan ummah secara menyeluruh, bersepadu dan mampan.
Turut hadir ialah YBhg. Dato’ Haji Rosidi bin Hussain, Setiausaha MAINPP; Tuan Abdul Mohsein bin Mohd Shariff, Ketua Pegawai Eksekutif Wakaf MAINPP; Encik Hazzrie bin Abu Bakar, Pengurus Besar Jabatan Khidmat Pengurusan yang menjalankan tugas Ketua Pegawai Operasi Zakat MAINPP; Encik Muhammad Asyraf bin Abdul Wahab, Pengurus Besar Jabatan Kutipan Zakat MAINPP; serta Encik Zaiasmawi bin Nayan, Pengurus Besar Jabatan Agihan Zakat MAINPP.
Delegasi TNB turut disertai oleh pegawai-pegawai kanan iaitu Encik Adnan Eyam, Ir. Mohd Firdaus Auzir, Encik Mohd Alwi Mohd Nadzir, serta Puan Sharida.
Kerjasama strategik ini diharap terus diperkasakan bagi memastikan manfaat zakat dan sumbangan korporat dapat diterjemahkan kepada perubahan kehidupan yang lebih baik, khususnya kepada golongan yang memerlukan.







